Sabtu, 20 Julai 2013

MAKNA KALIMAH SYAHADAH

APA MAKNA KALIMAH SYAHADAH???

AKU BERSAKSI...PENJELASAN AQIDAH DARI DUA KALIMAH SYAHADAH Al-Syahadatain (dua kalimah syahadah) adalah merupakan lafaz yang wajib diketahui dan dii`tikadkan oleh setiap muslim. Ia juga merupakan lafaz yang wajib diucapkan oleh orang-orang kafir bagi melambangkan keislaman mereka. Lafaz Dua Kalimah Syahadah ialah: ﻥَﺃ ُﺪَﻬْﺷَﺃ َﻻ َﻪَﻟِﺇ َّﻻِﺇ ُﺪَﻬْﺷَﺃَﻭ ُﻪﻠﻟﺍ ﺍًﺪَّﻤَﺤُﻣ َّﻥَﺃ ُﻝﻮُﺳَﺭ ِﻪﻠﻟﺍ Maksudnya: “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu utusan Allah”. Perhatian: Lafaz ashhadu (ﺪﻬﺷﺃ) yakni “aku bersaksi” mengandungi tiga makna serentak iaitu:
1. (ﻢﻠﻋﺃ) yakni “aku mengetahui”, 2. (ﺪﻘﺘﻋﺃ) yakni “aku mempercayai” dan
3. (ﻑﺮﺘﻋﺃ) yakni “aku mengiktiraf”. Inilah lafaz yang afdal dan paling sesuai bagi menjelaskan tuntutan iman dan Islam. Ini kerana setiap sesuatu pengakuan hendaklah didahului dengan kepercayaan, dan setiap kepercayaan pula hendaklah didahului dengan pengetahuan atau ilmu. Jika tidak, maka pengakuan dan kepercayaan itu adalah suatu pembohongan. Demikian juga jika seseorang itu tahu tentang kebenaran Islam tetapi tidak mahu mempercayai atau tidak mengakui kebenaran Islam, maka dia telah berdusta sebagaimana orang-orang Yahudi yang telahpun mengetahui kebenaran Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam, bahkan mereka mengenali baginda sepertimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri, namun disebabkan sikap degil dan bongkak mereka tidak mahu memperakui akan kebenaran risalah yang dibawa oleh baginda sallallahu`alaihi wasallam. Makna Kalimah Syahadah Pertama: ُﺪَﻬْﺷَﺃ َﻻ ﻥَﺃ َّﻻِﺇ َﻪَﻟِﺇ ُﻪﻠﻟﺍ “Aku mengetahui (dengan menuntut ilmu), aku beri`tiqad (mempercayai) dengan hati tanpa dipaksa dan aku mengiktiraf (mengakui) dengan lidah bahawa tiada Tuhan yang di sembah dengan sebenarnya melainkan Allah Yang Maha Tunggal lagi Yang Maha Esa, Yang Awal lagi Yang Sedia Ada, Yang Maha Hidup lagi Yang Maha tidak berhajat kepada yang lain dan Yang Maha Kekal lagi Yang Maha Mencipta, Yang Maha Memberi Rezeki, Yang Maha Mengetahui lagi Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesuatu yang dikehendaki-Nya pasti berlaku dan sesuatu yang tidak dikehendaki oleh-Nya pasti tidak akan berlaku. Dia-lah Tuhan yang tidak ada sebarang daya dan kekuatan melainkan dengan-Nya yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang layak dengan-Nya, yang suci dari segala sifat kekurangan pada hak-Nya”. Ringkasan daripada makna syahadah pertama di atas ialah pensabitan (merujuk kepada) 20 sifat bagi Allah ta`ala iaitu: al-Wujud (ada), al-Qidam (sedia ada), al- Baqa’ (kekal), al-Mukhalafah lil-hawadith (bersalahan dengan makhluk), al-Qiyam bi-nafsih (tidak berhajat kepada makhluk), al-Wahdaniyyah (esa), al-Qudrah (berkuasa), al-Iradah (berhendak), al-`Ilm (mengetahui), al-Hayah (hidup), al-Sama` (mendengar), al-Basar (melihat) dan al-Kalam (berkata), Kaunuhu Qadiran (keadaan Allah ta`ala yang berkuasa), Kaunuhu Muridan (keadaan Allah ta`ala yang berkehendak), Kaunuhu `Aliman (keadaan Allah ta`ala yang mengetahui), Kaunuhu Hayyan (keadaan Allah ta`ala yang hidup), Kaunuhu Sami`an (keadaan Allah ta`ala yang mendengar) , Kaunuhu Basiran (keadaan Allah ta`ala yang melihat), Kaunuhu Mutakalliman (keadaan Allah ta`ala yang berkata-kata). Makna Kalimah Syahadah Kedua: ُﺪَﻬْﺷَﺃ ﺍًﺪَّﻤَﺤُﻣ َّﻥَﺃ ُﻝﻮُﺳَﺭ ِﻪﻠﻟﺍ “Aku mengetahui, mempercayai dan mengakui bahawa Muhammad ibn `Abdullah ibn `Abd al-Muttalib ibn Hashim ibn `Abdu Manaf al-Qurashi sallallahu`alaihi wasallam itu adalah hamba Allah dan utusan-Nya kepada semua makhluk. Selanjutnya, diikuti dengan iktikad dan keyakinan bahawa baginda telah diputerakan dan dibangkitkan sebagai seorang rasul (pesuruh Allah) di bumi Mekah, berhijrah ke bumi Madinah dan disemadikan di sana, baginda benar dalam semua perkara yang dikhabarkan dan disampaikannya daripada Allah iaitu mencakupi perkara-perkara yang telah berlaku, perkara- perkara yang akan berlaku dan perkara-perkara yang berhubung dengan hukum syariat. Antara perkara yang dikhabarkan itu ialah azab dan nikmat kubur, soalan dua malaikat Munkar dan Nakir, kebangkitan dari alam barzakh, perhimpunan di Mahsyar, kiamat, hisab, pahala, azab, neraca amalan, titian al-Sirat, neraka, kolam al- Hawd, syafaat, syurga, melihat Allah dengan mata kepala pada hari Akhirat tanpa kayfiyyat, tanpa bertempat dan ruang; iaitu tidak seperti makhluk dilihat, keberkekalan hamba-hamba Allah di dalam syurga dan neraka, keimanan dengan para malaikat Allah, para rasul-Nya, kitab-kitab-Nya dan qada` dan qadar Allah iaitu yang baik dan yang buruknya, dan sesungguhnya baginda adalah penyudah segala nabi dan penghulu seluruh keturunan Nabi Adam alaihissalam. HUKUM MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH DAN PERKARA-PERKARA YANG BERKAITAN DENGANNYA: Jika seruan asas Islam iaitu Dua Kalimah Syahadah sampai kepada sesiapa yang mukallaf, maka wajib ke atasnya menganut agama Islam, tetap dalam agama Islam dan beramal dengan syariat Islam. Untuk menganut agama Islam, seseorang yang kafir wajib mengucap Dua Kalimah Syahadah berserta dengan i`tiqad yang benar lagi utuh. Lafaz Dua Kalimah Syahadah tidak disyaratkan dengan lafaz yang dimulakan dengan lafaz ashhadu (ﺪﻬﺷﺃ) untuk mengesahkan kemasukan seseorang ke dalam agama Islam. Bahkan, ianya boleh dilafazkan dengan ungkapan lain yang mempunyai makna yang sama dengannya meskipun bukan dalam bahasa Arab. Kefardhuan melafazkan Dua Kalimah Syahadah ke atas seluruh umat Islam kekal dalam setiap solat supaya solat menjadi sah menurut mazhab al-Imam al-Syafi`e. Orang yang dilahirkan di dalam Islam dan beri`tiqad dengan Dua Kalimah Syahadah tidak disyaratkan mengucap dua kalimah syahadah untuk menjadi orang Islam. Bahkan dia sebenarnya sudah menjadi orang Islam kerana didikan dan asuhan yang diterima olehnya adalah berdasarkan kepada aqidah yang sahih. Menurut ulama dalam mazhab Maliki bahawa Dua Kalimah Syahadah wajib diucapkan sekali seumur hidup ke atas setiap mukallaf setelah mencapai usia baligh dengan niat fardhu. Ini adalah kerana mazhab mereka tidak mewajibkan bacaan tahiyyat dalam solat, bahkan mereka hanya menganggapnya sebagai sunat. Sedangkan menurut ulama dalam mazhab-mazhab yang lain seperti ulama mazhab Syafi`e dan mazhab Hanbali, dua kalimah syahadah adalah wajib dilafaz dalam setiap solat bagi memastikan solat menjadi sah. Iman dan Islam seseorang itu tidak sah dan segala amalan kebajikannya tidak diterima tanpa dua kalimah syahadah yakni tanpa iman yang benar. Ucapan syahadah pertama wajib diiringi dengan ucapan syahadah kedua bagi mengesahkan keislaman seseorang yang mahu memeluk agama Islam. Itulah kadar minima untuk selamat dari kekal abadi di dalam api neraka. Oleh itu setiap manusia wajib meyakini secara jazam (putus) tentang kewujudan Allah ta`ala dan Allah ta`ala mempunyai sifat-sifat yang sempurna. Seseorang itu juga wajib juga beri`tiqad bahawa apa yang di bawa oleh Rasulullah adalah benar belaka tanpa ada syak, zan dan waham. ُﻡْﺰَﺠْﻟﺍ ُﺝَﺮْﺨُﻳ :ُﻪْﻨِﻣ ,ُّﻚَﺸْﻟﺍ ُﻢْﻫَﻮْﻟﺍ ,ُّﻦَﻈْﻟﺍ . Al-Jazm dikeluarkan daripadanya : Syak (ragu-ragu), Zan (melebihi percaya daripada tidak), Waham (melebihi ketidakpercayaan daripada percaya). ٌﻖِﻓﺍَﻮُﻣ ِّﻖَﺤْﻠِﻟ ُﺝَﺮْﺨُﻳ :ُﻪْﻨِﻣ ٌﻞِﻫﺎَﺟ ,ٌﻂِﺳﺎَﺑ ٌﻞِﻫﺎَﺟ ٌﺐَّﻛَﺮُﻣ Selari dengan kebenaran dikeluarkan daripadanya: Jahil basit (tidak mempunyai pengetahuan sama sekali), jahil murakkab (jahil yang tersusun iaitu tidak sedar bahawa dirinya jahil) ْﻦَﻋ :ٍﻞْﻴِﻟَﺩ ْﻱَﺃ َﺲْﻴَﻟ ﺍًﺪْﻴِﻠْﻘَﺗ Daripada dalil: tidak boleh bertaqlid. Maksud taqlid iaitu orang yang mengikut tanpa belajar dan apabila ditanya maka individu tersebut tidak dapat mengeluarkan dalil dalam perkara yang berkaitan dengan akidah. Ø Sekiranya seseorang itu bertaqlid (mengikut) kepada orang yang tidak betul iaitu golongan yang terkeluar dari landasan akidah yang sahih walau dengan jazam sekalipun tetap dihukumkan sebagai tidak beriman. Ø Sekiranya seseorang itu berbertaqlid (mengikut) kepada orang yang beraqidah sahih iaitu yang berada di atas landasan akidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah. Hukumnya terbahagi kepada tiga: 1. Sekiranya dia bertaqlid (mengikut) dengan jazam (putus), maka dia dikira beriman tetapi dihukum fasiq iaitu berdosa walaupun beriman. Ini pendapat yang muktamad. 2. Tidak dikira beriman walau dia bertaqlid dengan jazam sekalipun. Ini pendapat yang dhaif. 3. Sekiranya dia bertaqlid tetapi tidak jazam, maka dirinya tidak dikatakan sebagai beriman walaupun yang diikutinya itu adalah orang yang sahih aqidahnya. Kesimpulannya, syarat untuk mengenal Allah ada empat: Tahu dengan belajar (talaqqi). Yakin dengan keyakinan yang jazam (putus). Berpegang dengan perkara yang sebenar iaitu Aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah. Besertakan dalil iaitu dari al-Quran, al-Sunnah, Ijma` ulama` dan qias.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan